OLEH : MAIA R.
Penyanyi popular, Dr Soo Wincci sekali lagi melakar sejarah manis buat dirinya apabila berjaya menamatkan pengajian untuk ijazah sarjana keduanya, Master in Music Production, Technology & Innovation dan Post Master Fellowship Degree in Live Music Production di Berklee Valencia, Sepanyol.
Wincci menyifatkan segala penat lelah dan pengorbanannya meninggalkan seketika apa yang dimilikinya di Malaysia adalah berbaloi dengan apa yang telah dicapai olehnya hari ini.
Sebelum ini Wincci merupakan seorang penyanyi, pelakon, chef selebriti, model, pengacara, dan komposer yang hanya fokus dalam persembahan kini menjadi seorang penerbit yang dilengkapi dengan ilmu teknologi merupakan satu langkah yang amat besar dan perlu diambil akan tetapi tahap pembelajaran yang tinggi serta latihan yang bertubi-tubi pernah membuat Wincci untuk berputus asa.
Namun dengan keazaman dan kerja keras pada tahun lalu iaitu 2018, Wincci berjaya mendapatkan ijazah sarjana yang kedua di Berklee Valencia.
Pada majlis graduasi ini, Wincci turut mencipta sejarah peribadi untuk Malaysia apabila sekali lagi tersenarai untuk mendapat dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR).
Pengiktirafan tersebut terdiri daripada Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen dan Most Number of Academic Degrees Obtained by a Recording Artist.
Sehingga kini, Wincci telah memiliki lima ijazah yang diperolehi dalam masa 15 tahun selain dua ijazah sarjana yang diperolehi di Sepanyol, Ijazah Undang Undang dari University of Reading (UK), Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (University of Sunshine Coast, AUS) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Terbuka Malaysia.
Tambah Wincci lagi, apa pun halangan yang dilalui sebelum ini, dia tidak akan berhenti daripada meneruskan impiannya untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang muzik di peringkat antarabangsa.
Dalam pada masa yang sama, Wincci turut berkongsi tentang perancangannya bakal membina base di Spain dan pada masa yang sama akan terbang berulang alik ke Asia untuk rakaman TV dan persembahan.
Wincci turut berharap dengan kejayaan yang dikecapinya akan menjadi sumber inspirasi kepada semua agar terus belajar dan teruskan perjalanan impian masing-masing.