
Sektor Pembuatan Malaysia Tunjuk Tanda Pemulihan
SEKTOR pembuatan Malaysia bagi Julai meneruskan pemulihan pada tahap yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, dengan syarikat menjangkakan permintaan pasaran akan mengukuh dalam tahun akan datang.
Dalam satu nota, IHS Markit berkata selepas meningkat pada Jun, pengeluaran terus berkembang dalam tempoh kajian terbaharu, dengan trend untuk pesanan baharu jauh lebih baik sejak penurunan ketara ekoran COVID-19 pada April.
“Sehubungan itu, kesan pandemik berterusan bermakna perniagaan akan terus beroperasi di bawah kapasiti dan lebih berhati-hati dalam pengambilan pekerja terutama dalam menghadapi peningkatan kos input.”
“Harga output juga meningkat pada permulaan suku ketiga,” katanya seperti dipetik Berita Harian (BH).
Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) IHS Markit Malaysia menunjukkan prestasi pembuatan berada pada paras 50.0 pada Julai, turun sedikit berbanding 51.0 pada bulan sebelumnya.
Namun, bacaan itu jauh melebihi bacaan yang dilihat ketika penularan COVID-19, selain melepasi tinjauan purata jangka panjang iaitu 49.0.
IHS Markit menjelaskan, pengeluaran pembuatan berkembang bagi bulan kedua berturut-turut pada Julai disokong output lebih tinggi, isyarat trend pemulihan dalam pesanan baharu berikutan pelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, Indeks Pesanan Baharu berada paras yang tidak berubah seperti bulan sebelumnya, namun mewakili gambaran pemulihan lebih baik berbanding situasi yang dihadapi pada April dan Mei.