Sarawak Akan Sentiasa Berada Dalam Malaysia, Tegas Ketua Menteri
1. SARAWAK AKAN SENTIASA BERADA DALAM MALAYSIA, TEGAS KETUA MENTERI
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg sekali lagi menegaskan bahawa Sarawak akan sentiasa berada dalam Malaysia.
Umpama pepatah “sedangkan lidah lagi tergigit”, katanya, jika wujud sebarang permasalahan, ianya akan diselesaikan dalam semangat kekeluargaan.
Jelasnya, walaupun platform politik Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan berlainan, beliau tetap yakin ianya bukan penghalang untuk kedua-dua kerajaan terus berkerjasama demi kepentingan rakyat dan negara.
Beliau turut mengalu-alukan pendekatan “Shared Prosperity” yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Beliau berkata demikian di dalam ucapannya pada Sambutan Hari Malaysia di sini.
Sementara itu, Ketua Menteri turut menyatakan keyakinannya bahawa perkara yang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Khas Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan menemui penyelesaian dan seterusnya menjadikan Malaysia lebih kukuh.
2. PELANTIKAN KETUA KAUM PENEMPATAN PENDALAMAN OLEH DUA PIHAK DIKHUATIRI GUGAT KEHARMONIAN
Kestabilan, keharmonian dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan lebih daripada 5,000 rumah panjang, kampung dan penempatan pedalaman Sarawak dikhuatiri akan terganggu sekiranya terdapat dua pihak berkuasa dalam pelantikan tuai rumah, ketua masyarakat dan ketua kampung di Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri dalam melantik Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah menerusi satu kenyataan, semalam.
Jelasnya lagi, kenyataan tersebut mencerminkan bahawa orang luar tidak arif mengenai sistem lama yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dalam melantik pemimpin.
3. LANTIKAN KETUA MASYARAKAT, TINDAKAN PH PECAH BELAH RAKYAT SARAWAK
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing berkata Pakatan Harapan (PH) menggunakan hal ehwal pemimpin masyarakat untuk memecah perintah rakyat Sarawak.
Katanya, prosedur standard dalam perlantikan pemimpin masyarakat telah diamalkan bertahun lamanya.
Disamping itu, beliau berkata dalam kes komuniti Iban, Tuai Rumah adalah dipilih oleh pimpinan mereka masing-masing sebelum pemilihan mereka disahkan oleh kerajaan.
Sama juga dalam hal komuniti Orang Ulu, tetapi pemilihan pemimpin masyarakat mereka adalah mengikut norma-norma mereka sendiri dari segi struktur sosialnya.