
Santubong, Pekan Bersejarah Penuh Khazanah
KUCHING: Kerajaan Sarawak kini dalam usaha membangunkan Santubong sebagai pekan arkeologi ataupun pekan bersejarah dengan pelbagai kemudahan pelancongan akan disediakan.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, banyak sejarah dan perdagangan Sarawak bermula di Santubong.
Antaranya adalah batu ukiran manusia di Sungai Jaong, Tapak Kuil Hindu lama di Bongkissam dan Bukit Maras dan Pusat Wallace yang merupakan kediaman saintis terkemuka Alfred Wallace selama dua tahun.
Ketiga-tiga tempat tersebut mempunyai cerita serta khazanahnya tersendiri yang bukan sahaja menarik perhatian pelancong bahkan mereka yang meminati Sejarah.
“Dan di sinilah kalau kita lihat banyak sejarah Sarawak telah bermula kerana di sinilah juga kalau kita lihat perdagangan-perdagangan dengan dunia luar untuk negeri Sarawak. Dan di sini juga makam Sultan Tengah dan pagi tadi kita telah melawat tiga tempat. Satu di Sungai Jaong, dan yang kedua di Bukit Maras pun di Bongkissam dan ketiga di sini adalah Pusat Wallace.
“Ketiga-tiganya ada cerita sendiri, ada khazanah. The earlier settlement mungkinnya bermula di situ dan juga di Santubong kerana Sungai Jaong dengan Santubong bersebelahan. Di tempat itu kita akan bangunkan kemudahan-kemudahan untuk pelancongan bagi mereka yang minat kepada barang-barang purba dan akan dibuat galeri dan sebagainyalah di tempat itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Santubong Archaelogical Park and Wallace Centre Park, Selasa.
Sementara itu, Karim juga percaya ia akan memberi kebaikan kepada penduduk untuk menambah pendapatan dari industri makanan serta inap desa.
Projek tersebut yang menelan lebih kurang RM30 juta untuk kos keseluruhan termasuk kos pengambilan tanah dijangka siap pada Februari tahun hadapan.
“Saya percaya ia akan dapat memberi kebaikan, imbuhan kepada penduduk-penduduk kampung dari segi industri makanan dengan industri penginapan homestay dan sebagainya kerana tempat ini di tepi laut.
“Dan selain daripada itu, industri-industri yang bersangkutan dengan pelancongan, kraf dan sebagainya. Kos keseluruhan termasuk kos pengambilan tanah lebih kurang RM30 juta. Dan kita jangka projek ini akan siap lebih kurang Februari tahun hadapan. Ia agak lambat ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya lagi.