
Sambutan Perayaan Tanglung Di Lundu Sematan Unik Disertai Pelbagai Kaum
LUNDU: Kepelbagaian kaum yang menyertai perarakan sambutan Perayaan Tanglung ini suatu yang sangat unik bagi masyarakat Sarawak di Daerah Lundu dan Sematan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Ir Lo Khere Chiang, walaupun Perayaan Tanglung ini diraikan masyarakat Cina, tetapi penyertaan kaum-kaum lain menjadikan perayaan ini sangat unik dan menjadi lebih meriah.
“Kaum Cina, kaum Melayu kaum Bidayuh juga dan inilah menunjukkan satu bangsa yang kukuh di Sarawak. Yang terlebih beza dari Semenanjung Malaysia,” katanya.
Katanya semasa berucap mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Hajah Jamilah Hj Anu dalam merasmikan Majlis Sambutan Perayaan Tanglung 2019 pada Sabtu.
Pelbagai jenis tanglung dapat dilihat dalam sambutan Perayaan Tanglung ini yang bukan sahaja menyerlahkan perpaduan di kalangan masyarakat, tetapi juga memperlihatkan kreativiti masyarakat di Lundu Sematan.
Dalam pada itu, Ir Lo Khere Chiang turut mengagumi pembangunan pesat di kawasan Lundu Sematan ini yang terkenal dengan produk pelancongan dan makanan.
Malah, sebelum ini beberapa tempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu terkenal dengan kawasan peranginan yang menjadi daya tarikan pelancongan di samping produk makanan seperti makanan laut dan keropok.
“Lundu Sematan akan memainkan dalam usaha pelancongan tourism dalam usaha tourism di Sarawak sini,” ujarnya.
Pada majlis itu, sebanyak RM4 ribu telah diterima Jawatankuasa Penganjur Malam Sambutan Perayaan Tanglung 2019 anjuran Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Lundu-Sematan daripada ADUN Tanjong Datu sebanyak RM3 ribu dan RM1 ribu daripada ADUN Opar Datuk Ranum anak Mina.
Turut hadir Pegawai Daerah Lundu, Gustian Hj Durani, Pengerusi Pengelola Phang Nam Him dan Ketua-Ketua Masyarakat. – Edisi UKAS