PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertimbangkan desakan agar rombakan Kabinet dibuat selepas kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, 16 Nov lepas.
Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Bersatu berkata, walaupun ia adalah prerogatif beliau untuk membuat rombakan, namun beliau juga harus mengambil kira bahawa Kerajaan Pakatan Harapan terdiri daripada lima parti komponen.
“Bukanlah hari ini atau esok tetapi setelah kita mengkaji dan meneliti pencapaian dan kebolehan menteri-menteri barulah kita akan bincang kemungkinan untuk kita rombak Kabinet.
“Saya perlu beri pertimbangan kepada parti komponen. Saya tidak boleh begitu mudah mengambil, menukar atau menggugurkan mana-mana pihak,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini, Rabu.
Pada masa sama Dr Mahathir berkata, banyak kerja perlu dilakukan sebelum rombakan itu berlaku terutamanya persediaan dalam menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun hadapan.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan rombakan boleh dibuat sebelum APEC 2020 namun bukan perubahan besar.
“Saya berpendapat bahawa banyak lagi kerja yang perlu dibuat dan tahun depan kita hadapi masalah besar iaitu kita akan jadi tuan rumah kepada APEC meeting, dan ini tak boleh kita perkecilkan kerana ini adalah satu mesyuarat antarabangsa yang terpenting.