
Pihak Pendakwa Timbulkan “Prima Facie” , 18 Tertuduh Diperintah Bela Diri
OLEH : AKMA SALLEH
KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwa menimbulkan kes Prima facie di akhir pendakwaan yang membabitkan kes kematian Pegawai Kadet laut , Zulfarhan Osman Zulkarnain, pada dua tahun yang lalu.
Memetik laporan Berita Harian, Hakim , Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Katanya, selepas meneliti dan menilai secara maksimum keterangan saksi sepanjang kes pendakwaan, mahkamah memerintahkan 18 tertuduh terbabit untuk membela diri.
Tambah laporan berkenaan, enam tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi hingga jam 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.
Pertuduhan terhadap mereka yang semuanya berusia 23 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
Manakala, 12 lagi tertuduh, Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri , Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, dan Mohamad Syazwan Musa akan didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.