
Perkembangan Terkini Jerebu Di Sarawak Setakat Jam 3 Petang
Oleh: Ghazali Zawawi
13 OGOS 2019 – Setakat jam 3 petang, secara keseluruhan, bacaan IPU di Sarawak menunjukkan penurunan. ILP Miri masih mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu pada bacaan 338 (Kategori Berbahaya). Manakala, bacaan IPU di SK Kuala Baram 2 menunjukkan perubahan baik daripada kategori berbahaya kepada kategori sangat tidak sihat iaitu daripada bacaan 312 pada jam 10 pagi kepada bacaan 272 pada jam 3 petang.
Seterusnya, keadaan jerebu di Sri Aman masih berada pada kategori tidak sihat dengan bacaan IPU 135. Bacaan IPU di Sibu, Miri dan Kuching pula kekal pada kategori sederhana dengan masing-masing pada bacaan IPU 79, 80 dan 79.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100, sederhana; 101-200, tidak sihat; 201-300, sangat tidak sihat dan melebihi 300, berbahaya.
Orang awam boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.