Perkembangan Terkini Jerebu Di Sarawak
1. PERKEMBANGAN TERKINI JEREBU DI SARAWAK
Setakat jam 10 pagi, ILP Miri masih mencatatkan bacaan IPU tertinggi di Sarawak iaitu pada bacaan 352 (Kategori Berbahaya), diikuti oleh SK Kuala Baram 2 pada bacaan 312 (Kategori Berbahaya).
Seterusnya, keadaan jerebu di Sri Aman masih berada pada kategori tidak sihat dengan bacaan IPU 136. Manakala keadaan jerebu di Sibu bertambah baik daripada kategori tidak sihat kepada kategori sederhana dengan bacaan IPU 81 setakat jam 10 pagi hari ini dan Kuching juga berada pada tahap sederhana dengan bacaan IPU 76.
Oleh yang demikian, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Jamilah Hashim, menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah serta minum sekurang-kurangnya lapan gelas air bagi mengekalkan tahap hidrasi badan.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pula telah mengeluarkan notis pemberitahuan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk melakukan pembenihan awan dengan segera di Miri, khususnya di Kuala Baram, selain Sibu dan Sri Aman.
Ia bagi menangani kes kebakaran hutan belukar di kawasan berkenaan.
2. PERDANA MENTERI AMBIL ALIH RUNDINGAN HAK MINYAK DAN GAS
Rundingan berhubung hak minyak dan gas di Sarawak dijangka akan mencapai kata putus pada penghujung tahun ini.
Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia (MA63) masih berjalan seperti biasa dan akan ada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan hal tersebut.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Ibadah Korban sempena Aidiladha di Pusat Khidmat Adun Samariang, semalam.
Tambahnya, sebelum ini rundingan mengenai perkara tersebut dilakukan melalui Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Akan tetapi, pada mesyuarat yang lalu bersama-sama Jawatankuasa Pemandu, (Tun Mahathir) mengumumkan bahawa beliau sendiri akan mengambil alih rundingan tersebut.
3. GOLONGAN ASNAF DI TANJONG DATU TERIMA SUMBANGAN DAGING KORBAN
Seramai 2,512 golongan asnaf yang terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal, warga emas, saudara baru dan mualaf dari kawasan Tanjong Datu menerima sumbangan daging korban pada sambutan Aidiladha tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, pihaknya menyumbang sebanyak 19 ekor lembu bagi membantu umat Islam di kawasan berkenaan bagi menunaikan ibadah korban tahun ini.
Datuk Amar Jamilah menambah, beliau berharap sumbangan daging lembu yang diagihkan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban serta menggembirakan golongan yang memerlukan.
Katanya, program yang dijalankan secara gotong-royong itu juga dapat mengutuhkan lagi hubungan kekeluargaan terutama dalam kalangan peserta korban.