Isu MPKK: Respons Masing Terhadap Kenyataan Chieng Jen Dan Vernon Kedit
1. ISU MPKK: RESPONS MASING TERHADAP KENYATAAN CHIENG JEN DAN VERNON KEDIT
Tan Sri Dr James Jemut Masing sama sekali tidak bersetuju dengan langkah Kerajaan Persekutuan mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), kerana ia adalah suatu percubaan campur tangan dalam hal ehwal Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu berkata, Sarawak kini sudah lebih daripada cukup untuk dicampur tangan oleh Kerajaan Pusat bagi tempoh sudah beberapa tahun. Tegas beliau, ini termasuklah, aset Sarawak yang telah digunakan untuk membina prasarana di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha PKR Vernon Kedit dan Pengerusi Pakatan Harapan PH Sarawak, Chong Chieng Jen mengenai penubuhan MPKK di Sarawak.
Terdahulu Vernon Kedit dalam satu kenyataan berkata, MPKK bertujuan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar dan juga, menurut Chong Chieng Jen pelantikan (MPKK) di Sarawak oleh kerajaan persekutuan bertujuan memudahkan komunikasi dan pelaksanaan projek bagi kebaikan rakyat khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Namun respons Masing, sedangkan Kerajaan Persekutuan dapat menyampaikan maklumat melalui media elektronik, media cetak dan banyak lagi agensi lain dalam kawalan Kerajaan Pusat.
Justeru, Masing beranggapan MPKK hanya untuk memecahkan masyarakat Dayak dan pada masa yang sama beliau menegaskan pihak berkuasa tempatan adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Sarawak, justeru tidak salah baginya menguatkuasakan kuasanya dalam kes pelantikan anggota MPKK.
2. 15 LOJI RAWATAN AIR TERMASUK 7 DI BAHAGIAN SRI AMAN BERADA DI TAHAP AMARAN
15 loji rawatan air termasuk 7 di Bahagian Sri Aman berada di tahap amaran susulan musim cuaca kering dan panas yang masih berterusan di seluruh negeri Sarawak.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak menerusi kenyataan media hari ini berkata, paras air mentah sungai Undop di Loji Rawatan Air Bayai di Sri Aman naik ke paras 2.9m, namun masih berada di tahap amaran walaupun berlaku hujan semalam.
Lima pusat pengumpulan air berpusat terus beroperasi di Sri Aman dan JBALB Bahagian akan menambah lagi beberapa pusat pengumpulan air yang baharu.
Namun demikian, JBALB Sarawak memaklumkan kepada para pengguna agar tidak perlu risau, dan khuatir kerana agensi sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan krisis yang berlaku.
Justeru itu, JBALB juga memohon kepada para pengguna yang berada di kawasan pada tahap amaran untuk menggunakan air secara berhemah dan berjimat cermat sepanjang musim cuaca panas dan kering ini.
3. KALIMANTAN, SUMATERA MASIH JADI PUNCA UTAMA JEREBU
Jabatan Alam Sekitar menjelaskan secara keseluruhannya kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menjadi sebab kepada jerebu merentas sempadan di negara ini.
Katanya dalam satu kenyataan, ia memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia, bahagian Barat Sarawak dan sekitar kawasan Tawau dan Sandakan, Sabah.
Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) kelmarin, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, menunjukkan terdapat peningkatan titik panas di Sumatera iaitu sebanyak 676 titik panas.
Manakala titik panas di Kalimantan berkurangan kepada 332, dan 20 titik panas dikesan di Malaysia.
Media Indonesia melaporkan sejak Januari lalu lebih 300,000 hektar kawasan hutan di Indonesia terbakar.
Menurut JAS lagi, Peta Jerebu Serantau dikeluarkan ASMC pada Sabtu pula menunjukkan kluster titik panas di Sumatera Tengah, Sumatera Selatan, Riau dan Jambi berterusan melepaskan asap jerebu pada tahap sederhana sehingga tebal.