Ibadah Qurban Eratkan Hubungan
1. IBADAH QURBAN ERATKAN HUBUNGAN
KUCHING: Saban tahun tanggal 10 Zulhijah, umat Islam akan menyambut Aidiladha dan satu keistimewaan sambutan ini adalah ibadat qurban dengan upacara menyembelih binatang ternakan yang sah dijadikan korban seperti unta, lembu, biri-biri, kambing atau kerbau.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak,Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata, semangat gotong royong yang dilihat pada hari ini dalam mengerjakan ibadah qurban mampu mengeratkan silaturahim antara masyarakat khusunya ukhwah sesama islam.
Menurut beliau sikap tanggungjawab golongan tua dan generasi muda dalam kalangan masyarakat untuk ibadah qurban kali ini memberi keyakinan bahawa budaya yang sangat baik ini akan terus berterusan tahun demi tahun.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengagihan Daging Sapi Semperna Hari Raya Qurban di Surau Desa Guru kuching hari ini.
Antara institusi yang menerima agihan daging qurban adalah ,Rumah Kanak-Kanak Norkiah, Rumah Amal Nur Murni, Anak-Anak Baiturrahmah, Pusat Jagaan Laman Kaseh dan Rumah Sri Kenangan.
Justeru beliau berharap budaya sebegini dapat dikekalkan dengan penuh tanggungjawab dan komitmen bagi yang beragama islam.
2. KELUARGA TENTERA YANG HILANG DI PULAU PERAK MAHU TURUT SERTA DALAM MISI PENCARIAN
KUCHING: Berhubung kehilangan dua orang tentera yang berasal dari Sarawak, keluarga kepada Koperal David Edmund Rapi, 39, berasal dari Dalat yang dilaporkan telah hilang ketika bertugas di Pulau Perak, Kedah sejak 19 Julai memohon untuk menyertai Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR).
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Sri Fatimah Abdullah, keluarga kepada Koperal David Edmund Rapi telah memohon kebenaran agar diberi taklimat dari Kementerian Pertahanan Malaysia, Cawangan Sarawak (MINDEF).
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita pada Majlis Pengagihan Daging Sapi sempena Hari Raya Qurban, di Kuching hari ini.
Mengulas lanjut, pihaknya belum menerima jawapan dari Kementerian Pertahanan berhubung pekara tersebut.
Tambahnya lagi, keluarga kepada Koperal David Edmud hanya dibenarkan untuk masuk ke Kem Bukit Crowder, Perlis untuk tujuan mengambil barang mangsa.
Bantuan penginapan, tiket penerbangan serta pengangkutan akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
3. PROGRAM PERARAKAN BERTAKBIR MALAM AIDILADHA DI SAMBUT MERIAH
Peserta Program Perarakan Bertakbir Malam Aidiladha 2019 melahirkan rasa syukur kerana dapat bersama-sama menyertai program kali kedua diadakan sempena Hari Raya Aidiladha 2019.
Program anjuran Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darulhana Patingan berarak sambil bertakbir berjalan sejauh 1.8 Kilometer (KM) mengelilingi Jalan Patingan-Jalan Patinggi Ali- Jalan Datuk Ajibah Abol malam tadi.
Sebaik selesai majlis, cabutan bertuah diadakan bagi meraikan kehadiran peserta.