
DBP Disaran Wujud Akademi Sasterawan Harapan
KUALA LUMPUR: Bagi melahirkan pelapis sasterawan berbakat negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran mewujudkan Akademi Sasterawan Harapan untuk membolehkan mereka mendapat bimbingan daripada sasterawan negara.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata akademi itu boleh mengambil pelajar dari peringkat sekolah rendah dan menengah sehingga universiti untuk memperoleh ilmu dan pengalaman daripada seorang ahli dalam bidang itu.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dan Hadiah Sastera Tunas Cipta 2017/2018 di Kuala Lumpur.
Selain itu, beliau menambah kementerian akan memastikan sekolah harian kerajaan mewujudkan sudut sasterawan negara mulai tahun depan bagi memupuk kecintaan terhadap ilmu kesusasteraan.
Pada majlis itu, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar memenangi hadiah berjumlah RM9,500 menerusi dua kategori iaitu buku sastera dewasa bergenre autobiografi ‘Jejak Seni Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad’ dan kategori drama eceran berjudul ‘Pokok’.
Oleh: Noorul Ismail
— BERNAMA