
#COVID19, Sarawak Catat Tiga Kes Positif
KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan tiga kes positif baharu COVID-19 dengan dua daripadanya kes import B.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kes baharu ini masing-masing satu di daerah Kuching, Miri dan Sibu sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat pada 721 kes.
“Kes ke-719 iaitu kes Import B merupakan seorang lelaki warganegara tempatan yang telah menjalani saringan COVID-19 di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) semasa sekembalinya dari Kota Kinabalu, Sabah.
“Ujian saringan rT-PCR COVID-19 dilakukan pada 2 Oktober 2020 dan keputusan pada 05 Oktober 2020 menunjukkan kes positif COVID-19. Kes diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah selepas menjalani saringan COVID-19 pada 2 Oktober 2020.
“Kes juga pernah menjalani saringan secara rawak pada 29 Ogos 2020 semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching selepas pulang dari Sabah tetapi keputusan ujian saringan rT-PCR kes adalah negatif,” jelasnya pada sidang media mengenai perkembangan kes COVID-19 di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, pada 12 Ogos 2020, kes juga pernah melakukan perjalanan sama ke Sabah dan balik ke Kuching namun tiada saringan dijalankan pada masa tersebut.
Jelasnya lagi, kes ini merupakan penumpang biasa (regular flyer) penerbangan dari Kuching ke Kota Kinabalu dan sebaliknya atas urusan melawat ahli keluarga dan juga perniagaan.
Kes katanya lagi tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala jangkitan COVID-19.
“Kes telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut pada hari sama dan dikategorikan sebagai kes Import B kerana mendapat jangkitan semasa berada di kawasan yang berisiko tinggi iaitu di Sabah.
“Siasatan lanjut dan pengesanan semua kontak kepada kes ini masih dijalankan. Tambah beliau lagi.
Mengenai Kes import kedua, Douglas Uggah berkata, kes ini merupakan seorang wanita warganegara tempatan yang telah melakukan perjalanan balik dari Selangor melalui penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA-2) ke Lapangan Terbang Miri pada 3 Oktober 2020.
“Kes ini merupakan penumpang biasa dari KL kerana kes bekerja di sebuah klinik swasta di Petaling Jaya, Selangor, sama ada melalui Lpangan Terbang Bintulu atau Lapangan Terbang Miri.
“Kes ini menetap di Petaling Jaya, Selangor tetapi kerap balik ke Sarawak semasa cuti.
“Kes mengadu demam sejak 1 Oktober 2020. Kes dirujuk ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut pada hari sama selepas keputusan kes diketahui.
“Kes ini dikategorikan sebagai kes Import B kerana mendapat jangkitan semasa berada di kawasan yang berisiko tinggi iaitu kemungkinan di Selangor. Siasatan lanjut dan pengesanan semua kontak kepada kes ini masih dijalankan,” katanya.
Manakala, bagi kes ke-721, Uggah memberitahu ia adalah jangkitan tempatan yang melibatkan seorang warganegara tempatan yang disaring pada 3 Oktober 2020 kerana mempunyai kontak rapat kepada kes ke-714.
Namun, keputusan ujian rT-PCR didapati positif COVID-19 pada 5 Oktober dan diarahkan kuarantin dirumah.
“Kes ini tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau balik ke Sabah dalam tempoh sebulan yang lepas.
“beliau juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala sekaligus Kes dimasukkan ke Hospital Sibu pada hari yang sama dan dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan.” tambah beliau.
Mengulas lebih lanjut, tiada kes baru yang pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini manakala, mengenai kes yang masih mendapatkan rawatan dan diasingkan, beliau berkata, berlaku peningkatan seramai tiga orang menjadikan jumlah keseluruhan 19 orang iaitu sembilan kes di wad pengasingan di HUS enam di Hospital Miri, tiga di Hospital Sibu dan satu di Hospital Bintulu.
“Tiada kes kematian baharu dilaporkan pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kematian adalah kekal seramai 19 orang atau 2.64 peratus.
“Hari ini lima kes disyaki (PUI) baru dilaporkan dan tiada PUI yang menunggu keputusan ujian makmal.”
Uggah berkata jumlah daerah berstatus kuning kekal tiga iaitu daerah Kuching, Sibu dan Lawas manakala 37 daerah yang lain di Sarawak kekal berada dalam status hijau.