
Air Asia Tanggung Kos Bawa Balik 47 Tahanan Di Kemboja
Oleh: Dyg Nur Zhahrulniza
KUCHING: Syarikat penerbangan AirAsia akan membiayai kos membawa pulang kesemua rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Banteay Meanchey, Kemboja untuk kembali ke tanah air dengan selamat.
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien menerusi kenyataannya berkata, beliau dimaklumkan pihak AirAsia akan turut sama menyertai Misi Menyelamat dan Membawa Pulang Rakyat Malaysia di Kemboja.
Dalam pada itu ujarnya, beliau akan terbang ke Kemboja bersama delegasi media dan wakil ahli keluarga tahanan pada 13hb Februari untuk meninjau sendiri keadaan dan situasi tahanan di sana.
Menurut beliau, Pejabat Kedutaan Malaysia di Kemboja telah berjaya mengatur lawatan delegasi mereka ke Penjara Banteay Meanchey pada Rabu depan.
Sehubungan itu, beliau memzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun fahaman politik dan yakin kerajaan akan mampu menangani isu ini dengan jayanya