606 Keluarga Terima Sumbangan Lebih RM300 Ribu Dari Kerajaan Negeri
606 Keluarga Terima Sumbangan Lebih RM300 Ribu Dari Kerajaan Negeri
Sejumlah RM303, 000 telah di peruntukkan kepada 606 buah keluarga di Sarawak sebagai bantuan wang ihsan.
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, wang ihsan bagi 606 keluarga tersebut adalah bertujuan bagi menampung kos kerugian penduduk yang telah terjejas tanah runtuh dan banjir sepanjang Januari hingga Mac 2019.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menambah permohonan berkenaan berdasarkan apa yang telah direkodkan pihak Pejabat Daerah bagi tempat-tempat itu.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Post-Mortem JPBN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Sementara itu, Menteri Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah memaklumkan, kementeriannya telah menyalurkan sebanyak hampir RM18 Ribu bagi menguruskan 9 kes banjir dan hampir RM7 Ribu bagi 2 kes tanah runtuh di Bahagian Limbang.
KONTRAK BERASASKAN PRESTASI LEBIH BAIK
Penggunaan model Kontrak Berasaskan Prestasi (PBC) dalam penyelenggaraan jalan di negeri ini lebih baik berbanding Kontrak Berasaskan Kuantiti (QBC).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg berkata faedah PBC kepada kerajaan sangat jelas iaitu penjimatan tahunan antara 10 hingga 20 peratus, masa respons lebih baik dan cepat serta standard penyelenggaraan yang tinggi.
PBC katanya, juga memerlukan bajet tahunan yang lebih mudah berikutan kadar tetap yang berbeza bagi jenis kerja, pemindahan kewajipan dan risiko pengurusan kerja dari negeri kepada kontraktor dan membolehkan kontraktor menggabungkan teknologi dan peralatan.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Bengkel PBC di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang dibacakan oleh Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi.
LIMBANG BAKAL JADI DESTINASI BEBAS CUKAI
Limbang di Sarawak mungkin bakal jadi destinasi zon bebas cukai ketiga di Malaysia. Ini kerana Majlis Daerah Limbang (MDL) kini dalam proses menyiapkan kertas kerja bagi menjayakan perkara ini pada masa hadapan.
Menurut Menteri Muda Pertanian Sarawak, Dr Abdul Rahman Ismail, kertas kerja itu akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan.
Bagaimanapun ADUN Bukit Kota itu menambah perkara tersebut masih di peringkat dasar dan Limbang perlu punya infrastruktur yang cukup untuk merealisasikannya.
Menurut beliau, Kerajaan persekutuan akan buat kajian terlebih dahulu dan Limbang dikatakan menerima banyak peruntukkan untuk menjayakan beberapa projek mega yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.
Ia bakal melibatkan projek naik taraf Tebingan Sungai Limbang, pembinaan jejantas, Taman Awam Limbang dan projek lain bernilai RM15 juta ringgit.