PORT DICKSON: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata media kini semakin bebas dalam membuat laporan berita di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

Katanya, kebebasan itu seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh pengamal industri itu untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Apabila kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negara, media itu memang kita beri kebebasan, dan kemudahan diberikan tidak kira media itu daripada mana.

“Saya rasa sekarang suasana kebebasan itu ada, saya rasa bukan sahaja warganegara biasa yang merasakannya tetapi saya rasa pihak media juga berasa begitu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, katanya, kebebasan itu tidak harus disalah guna dan media perlu sentiasa mengamalkan etika kewartawanan yang baik serta bertanggungjawab ke atas setiap laporan yang dikeluarkan selain tidak memutarbelitkan fakta atau membuat spekulasi melulu.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan media pada PRK Port Dickson berbanding laporan media sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan yang terdahulu. – Bernama

Category:

TextNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

1 × 3 =