Sabah mahu membentuk kerjasama dengan Sarawak untuk membangunkan industri automotif sekali gus memperkasa perkembangan industri itu di kedua-dua negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama rakan sejawatannya Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam pertemuan yang dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak hari ini.

“Perincian (mengenai kerjasama membangunkan industri automotif) akan saya maklumkan sekembali saya dari Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil dan diploma kepada 460 graduan Kolej Teknikal Yayasan Sabah pada Majlis Konvokesyen Ke-23 kolej berkenaan di sini, hari ini.

Kita (Sabah) tidak boleh beroperasi secara sendiri dan perlu berkongsi serta bekerjasama. Dengan kerjasama, ada komponen boleh dibuat di Sabah dan ada boleh dibuat di Sarawak dan usaha ini perlu dijayakan bersama. Kita yakin boleh meningkatkan kerjasama dalam bidang ini, kerana dahulu kita mempunyai kerjasama dengan Sarawak dalam industri simen,” katanya.

Mohd Shafie berkata kerjasama antara Sabah dan Sarawak dalam membangunkan industri automotif itu juga dilihat penting dalam usaha memastikan kedua-dua negeri terbabit berupaya mengeluarkan produk berkaitan automotif yang bernilai tinggi seterusnya memenuhi permintaan pasaran.

 

Katanya pembangunan industri itu juga akan dapat memanfaatkan sepenuhnya bakat, kemahiran serta kepakaran graduan bidang teknikal dan automotif di negeri berkenaan pada masa akan datang.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri Sabah akan mewujudkan lebih banyak kolej teknikal ke arah melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi dan memenuhi permintaan pasaran kerja.

Pekara itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah namun ia bergantung kepada kedudukan kewangan negeri, katanya. – Bernama

Category:

TextNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

seventeen − 15 =