MIRI – PAS Sarawak hari ini menggesa kaum muslim supaya menjauhi festival bir yang sedang berlangsung di pantai Coco Cabana di sini mulai hari ini sehingga Ahad.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata festival itu akan membawa lebih banyak keburukan  daripada kebaikan kerana ia boleh membawa kepada banyak masalah sosial bukan sahaja kepada mereka yang menghadiri festival itu, malah juga kepada orang ramai.

“Contohnya apabila mabuk, mereka mulai hilang pertimbangan, bergaduh sesama sendiri dan boleh membawa kepada kemalangan jalanraya apabila memandu dalam keadaan mabuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahan pula katanya festival bir di bandaraya Miri itu tidak selaras dengan adat dan budaya penduduk tempatan, terutama kaum Muslim, dan minuman itu bukan hanya diharamkan oleh agama Islam sahaja,malah ia turut ditolak oleh agama Kristian dan Buddha.

Sementara itu seorang imam membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri pada pukul 4.25 petang menggesa pihak yang berkaitan termasuk polis, menghalang kaum Muslim daripada menyertai acara itu.

Imam masjid Darul Ehsan di sini, Abdullah Gani mendakwa laporan polis dibuat selepas beliau berbincang dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anggota jawatankuasa masjid dari Lutong dan Piasau, serta orang awam.

“Selepas berbincang dan membuat pertimbangan sewajarnya, saya yang mewakili komuniti kaum Muslim di sini mahukan supaya pihak berkuasa yang berkaitan termasuk Jabatan Agama Islam Sarawak mengambil tindakan bagi menghalang kaum Muslim daripada menyertai festival itu,” katanya.

Bagi mengelak sebarang salah faham, beliau menegaskan bahawa laporan polis itu dibuat dengan tujuan mengingatkan polis dan pihak berkuasa tempatan supaya bertindak terhadap kaum Muslim yang menghadiri festival itu sahaja, dan bukannya terhadap penganjurnya.

Menurut laporan polis yang salinannya diserahkan kepada Bernama hari ini, Abdullah mahukan supaya penganjur meletakkan notis bagi menghalang kaum Muslim daripada menyertai atau memasuki kawasan festival.

— BERNAMA

Category:

TextNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

8 + fourteen =