BAU: Pekan Warisan Siniawan kembali menampilkan satu lagi acara yang bakal menarik pengunjung iaitu ‘Folklore Music Night’ ‘pada 13 Oktober ini.

Pada hujung minggu lepas pekan warisan berkenaan dengan jayanya menganjurkan Festival Muzik Country.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh berkata, enam kumpulan muzik tradisional terkenal akan tampil membuat persembahan masing-masing pada acara berkenaan.

Beliau yang juga penasihat Pesta Pekan Warisan Siniawan 2018 berkata kali ini dua kumpulan pemuzik dari Taiwan iaitu Zin Xuan & Slow Train dan Blue Bird bakal menggegarkan pentas utama ‘Folklore Music Night’.

“Tidak ketinggalan kumpulan pemuzik tempatan yang kian mencipta nama di persada muzik antarabangsa iaitu At Adau juga akan beraksi untuk memeriahkan malam itu kelak.

“Tiga lagi pemuzik ialah pemain sape solo tersohor Sarawak iaitu Mathew Ngau Jau, Kenyalang Entertainment dan Sri Pangkalan turut tampil mengangkat martabat karya muzik mereka,” katanya pada sidang media di sini malam kelmarin.

Menurut Miro, pihaknya menyasarkan kira-kira 5,000 pengunjung tempatan dan luar negara akan membanjiri pekarangan Pekan Warisan Siniawan bagi menyaksikan persembahan pada malam Sabtu kelak.

Beliau memberitahu, keunikan muzik yang ditampilkan oleh setiap kumpulan pemuzik terbabit diyakini akan mengangkat genre muzik tempatan dalam perspektif yang lebih luas.

“Bayangkan adunan muzik yang akan ditampilkan oleh enam kumpulan pemuzik tersebut kepada para peminat mereka kelak,” ujarnya. – UtusanBorneo

Category:

TextNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

1 × 3 =