KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) berharap fokus untuk pembangunan kemahiran terus menjadi agenda utama dalam Bajet 2019 yang julung kali akan dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Jufitri Johar berkata kerajaan perlu memastikan golongan belia mampu untuk terus berdaya saing dalam pasaran pekerjaan melalui pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Untuk Bajet 2019, antara yang belia harapkan khususnya agar kerajaan tidak mengetepikan fokus untuk pembangunan kemahiran dengan terus memberi peruntukan kewangan meskipun berdepan pelbagai kekangan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata bantuan kewangan itu bagi memastikan belia terutamanya tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk keciciran dalam bidang akademik mampu terus maju serta memiliki pekerjaan dalam bidang kemahiran yang mendapat permintaan tinggi.

Jufitri berkata MBM turut meminta agar bantuan dana kepada pertubuhan-pertubuhan belia di bawah  Kementerian Belia dan Sukan dapat diteruskan bagi memastikan operasi serta aktiviti mereka dapat dikembangkan.

“Mengharapkan kepada dana bukan bermakna kami tidak berusaha. MBM sendiri ketika ini berusaha merangka pelan tindakan bagi memastikan persatuan belia di semua peringkat, di daerah, negeri dan kebangsaan menjadi mandiri,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis berharap Bajet 2019 akan memberi perhatian kepada pembangunan sektor pelancongan dengan  menyediakan peruntukan bagi membolehkan aktiviti promosi peringkat tempatan serta global diperhebatkan.

“Promosi bukan murah…untuk pelancongan kita perlukan bajet membuat jerayawara ke serata tempat dalam dan luar negara. Walaupun kita mempunyai pelbagai nilai warisan dan produk-produk pelancongan yang bagus, jika kita tidak ketengahkan, ia tidak akan diketahui,” katanya.

Selain aktiviti promosi, Uzaidi berkata sektor pelancongan juga perlu dipertingkat agar lebih mesra pengunjung termasuk dari segi infrastruktur dan pengangkutan untuk keselesaan pelancong. – Bernama

Category:

TextNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

20 − fifteen =