KUCHING: Sebanyak 32 projek infrastruktur asas dan kemudahan awam berjumlah RM5 juta di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) akan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.
Rahman JunaidiMenteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek tersebut merangkumi pembinaan dewan masyarakat, lampu jalan di Tebingan BGS, pengkalan poonton, jeti nelayan, bina baharu dan baikpulih surau.
Projek lain yang turut dilaksanakan melibatkan pembinaan benteng konkrit, menaiktaraf sistem perparitan, pembinaan gelanggang futsal, menaiktaraf jalan kampung dan titi belian selain bangunan PDK.
“Pelaksanaan projek RTP sejak dimulakan 2015 hingga 2017 berjalan lancar di kawasan DUN Pantai Damai sekaligis memberi manfaat dan keselesaan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Projek RTP 2018 Bagi Kawasan DUN Pantai Damai di Pejabat Residen Kuching, baru-baru ini.
Agensi pelaksana yang terlibat dengan projek tersebut merangkumi Pejabat Residen Bahagian Kuching, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching, SIMU, Jabatan Perparitan dan Saliran (DID), Dewan Badaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai turut meminta semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menyiapkan cadangan awal senarai projek pembangunan yang memanfaatkan penduduk kampung masing-masing untuk pelaksanaan 2019 dan 2020.

Category:

TextNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

nine + 12 =