KUCHING: Rizab kewangan semasa negeri Sarawak untuk masa kini dijangka terus kukuh hasil daripada pengumpulan industri minyak dan gas di negeri berkenaan.

imageKetua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, hasil pengumpulan gas di negeri Sarawak turut dijangka terus meningkat setelah memperoleh 10% kepentingan dalam Petronas LNG Train 9 dan 25% dalam LNG 3.

“Rizab kewangan semasa negeri kita dijangka akan terus kukuh atas hasil pengumpulan daripada industri minyak dan gas di negeri ini.

“Saya menjangkakan kita akan mendapat lebih banyak daripada gas kerana sekarang kita mempunyai 10% kepentingan dalam LNG Train 9 dan 25% dalam LNG 3.” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Kemerdekaan Sarawak 2018 di Kuching pagi Ahad.

Justeru ujar beliau, hasil kewangan sekaligus dapat dimanfaatkan kepada rakyat apabila bekalan-bekalan air luar bandar, jalan raya, serta jambatan-jambatan akan dapat terus dibina tanpa bergantung sepenuhnya daripada dana kerajaan persekutuan.

Dalam ucapan yang sama juga, Abang Johari menyeru seluruh rakyat Sarawak untuk mendalami pengertian kemerdekaan khususnya mengingati tarikh 22 Julai 1963 sebagai sebuah tarikh untuk Negeri Sarawak menentukan masa hadapannya sendiri sebagai sebuah negeri yang bebas dan berdaulat.

Beliau turut berharap agar usaha dalam memberi penekanan kepada signifikan 22 Julai akan menjadi dorongan buat seluruh rakyat negeri ini untuk bersatu tenaga bagi mempastikan negeri terus maju di samping mempertahankan hak-hak Sarawak sebagai satu pihak yang telah melahirkan Malaysia.

“Tarikh 22 Julai 1963 hendaklah diberi suatu pengertian yang cukup mendalam kepada usaha bersama kita rakyat Negeri Sarawak untuk menentukan masa hadapan kita sendiri sebagai sebuah masyarakat yang bebas dan berdaulat.

“Saya amat berharap usaha kita untuk memberi penekanan kepada signifikan 22 Julai ini akan menjadi dorongan buat seluruh rakyat negeri ini untuk bersatu tenaga bagi mempastikan kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri lain yang sudah maju di samping mempertahankan hak-hak Sarawak sebagai satu pihak yang telah melahirkan Malaysia.” katanya.

image (1)Sambutan hari Kemerdekaan Sarawak hari ini disambut meriah dengan kehadiran kira-kira 4000 warga Sarawak yang datang dari seluruh Sarawak.

Majlis turut disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Category:

TextNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

19 − six =