KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Openg menggesa semua setiausaha politik negeri untuk bekerja keras dalam usaha mempromosi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam tempoh 2 tahun ini.
Tegasnya ini adalah penting kerana untuk tempoh dua tahun akan datang, GPS merupakan sebuah parti yang baharu dalam pilihan raya negeri akan datang.
Beliau yang juga pengerusi GPS berkata peranan setiausaha politik adalah membantu calon-calon wakil rakyat GPS memperkenalkan polisi dan dasar baharu kerana berbeza dengan parti sebelum ini iaitu Barisan Nasional.
“GPS sekarang ini bakal didaftarkan dalam masa terdekat dan saya berharap kesemua setiausaha politik memainkan peranan mereka dalam mempromosikan parti ini.
“Anda semua harus bekerja keras dan turun padang di kawasan pedalaman terutamanya dengan lebih kerap bersama wakil-wakil rakyat untuk tempoh dua tahun ini.”
aBeliau berkata demikian ketika memberi ucapan amanat kepada setiausaha politik negeri di Majlis Ramah Mesra bersama Ketua Menteri anjuran Pejabat Setiausaha Ketua Menteri Sarawak di Kuching petang Khamis.
Menyentuh perkara lain Abang Zohari mengumumkan akan mengadakan lawatan mengejut ke tapak-tapak projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri setiap 3 minggu bermula esok.
Beliau menambah mesyuarat bersama jawatankuasa pemerhati akan diadakan esok bagi mengetahui secara terperinci status projek-projek yang telah diluluskan sebelum ini.

Category:

TextNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

4 × 2 =