KUALA LUMPUR – Wanita Barisan Nasional (BN) menghormati dan bersikap terbuka terhadap keputusan empat parti komponen di Sarawak : PBB, SUPP, PRS dan PDP untuk keluar Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan Gabungan Parti Rakyat (GPS).

Penolong Setiausahanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, walaupun keputusan itu akan memberi kesan kepada BN secara keseluruhan namun parti itu perlu berpolitik secara matang dan menerima secara terbuka keputusan yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Bagaimanapun Wanita BN jelas beliau, berasa sedih kerana ia juga akan memberi kesan kepada kedudukan BN di Dewan Rakyat selepas ini apatah lagi GPS telah mengumumkan akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun pahit dan rasa dipinggirkan dalam keadaan yang sukar di ketika ini, BN akan terus mencari kekuatan untuk bangkit semula.

“Kita sedar akan impak keputusan ini kepada kedudukan BN sebagai pembangkang di dalam Dewan Rakyat maka Wanita BN meminta pucuk kepimpinan parti untuk membincang kaedah terbaik untuk dapat menjaga dan membela kepentingan rakyat di dalam Dewan Rakyat di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, senario terkini itu adalah satu cabaran kepada UMNO yang kini sedang memfokuskan ke arah kebangkitan semula parti bermula dengan pemilihan barisan kepimpinan baru.

Namun beliau percaya ia tidak akan mematahkan semangat ahli-ahli UMNO dan menyeru semua ahli-ahli parti supaya turut menerima secara baik keputusan Sarawak itu.

“Kepada rakan-rakan Wanita BN di Sarawak, saya berharap hubungan baik dan akrab yang telah kita jalinkan selama ini dapat diteruskan walaupun dalam landskap politik yang berbeza kini.

“Walaupun kita tidak lagi diikat dalam kesatuan BN, matlamat kita masih sama iaitu menjalankan amanah membela rakyat,” katanya.

Category:

TextNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

7 − 2 =