KUALA LUMPUR: Keputusan empat parti tempatan Sarawak, keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan gabungan politik baharu yang lebih bersifat lokal, perlu dihormati semua pihak.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata keputusan itu sudah dijangka selepas BN mengalami kekalahan luar biasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

“Keputusan mereka (komponen dari Sarawak) sudah dijangka kerana BN bukan lagi parti pemerintah. Saya yakin, setiap kerajaan negeri mahu ada hubungan dengan Kerajaan Pusat.

“Oleh itu BN Sarawak mahu mengatur semula organisasi mereka dengan menubuhkan gabungan baharu di peringkat negeri yang boleh diurus dengan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas keputusan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) meninggalkan BN dengan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Mengulas lanjut, Annuar berkata, BN Sarawak mempunyai alasan tersendiri untuk menarik diri daripada gabungan itu kerana BN di peringkat pusat sudah tidak bermakna.

“Kita (BN) bukan lagi kerajaan di peringkat pusat dan gabungan 13 parti politik di bawah BN berkongsi kuasa sebagai kerajaan di peringkat Pusat.

“Justeru, saya berpendapat kita harus hormat keputusan mereka dan perlu mengekalkan hubungan baik bersama,” katanya.

Beliau berkata, BN tidak akan sesekali berkecil hati dengan keputusan terbabit dan akan meneruskan agenda kelangsungan politik parti.

“Kita perlu menguruskan rumah (UMNO) terlebih dahulu. Pemilihan parti menjadi keutamaan sekarang ini dan selepas itu (UMNO) akan mempunyai kepemimpinan baharu yang menerajui parti.

“Selepas itu, kita akan mengatur semula strategi dan melihat perkara berdasarkan situasi terbaru. Kita perlu melihat semula konsep BN tanpa parti politik dari Sarawak dan Sabah, tambahan pula MCA, Gerakan dan MIC yang dalam keadaan lemah, saya rasa kita perlu melihat semula konsep BN,” katanya.

Category:

Highlights, TextNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

12 + eight =